Tajuk

        Penggunaan internet secara profesional di kalangan pensyarah-pensyarah Institut    

        Perguruan  Darulaman.

 

Latarbelakang

                        Institut Perguruan Darulaman (IPDA) merupakan salah sebuah daripada 31 buah maktab perguruan yang  terdapat di Malaysia.  Terdapat seramai 180 orang pensyarah (pendidik guru) yang melatih seramai 1000 pelatih (bakal guru sekolah rendah), 200 orang bakal guru lepasan ijazah dan 200 guru yang sedang mengikuti kursus dalam perkhidmatan dalam berbagai bidang.  Institut mengharapkan semua pelatih seharusnya berkebolehan menggunakan internet secara profesional.  IPDA dianggap sebagai salah sebuah maktab  yang mempunyai kemudahan komputer yang baik berbanding maktab-maktab lain.

 

Keperluan Kajian

            Terdapat 18 orang pensyarah dalam bidang teknologi maklumat yang sedang bertugas di Institut Perguruan Darulaman.  Dengan keperluan yang bertambah untuk meningkatkan kemahiran menggunakan internet secara profesional di kalangan pelatih,  beberapa kursus yang berkaitan dengan penggunaan internet di kalangan pensyarah telah dilaksanakan.  Hasilnya sangat  memberangsangkan,  tetapi ianya masih tidak mencukupi untuk mewujudkan  budaya penggunaan internet secara profesional sepenuhnya di kalangan pensyarah.

            Tujuan kajian ini adalah untuk mengetahui sikap pensyarah IPDA terhadap penggunaan internet secara profesional.  Hasil kajian ini sangat berguna kepada pensyarah-pensyarah teknologi maklumat dan pentadbir bagi meningkatkan lagi kesedaran tentang kepentingan penggunaan internet secara profesional.

 

Pernyataan Masalah

            Pendidikan di Malaysia akan menuju kepada kurikulum yang berorientasikan teknologi maklumat.  Ia selaras dengan misi dan visi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan negara industri sepenuhnya menjelang tahun 2020.  Penggunaan internet dalam teknologi maklumat menjadi semakin penting  dalam usaha untuk merealisasikan visi tersebut.

            Lebih ramai pengguna internet yang mahir diperlukan untuk menangani cabaran terhadap penggunaan internet secara profesional.  Program latihan yang efektif adalah diperlukan untuk memenuhi keperluan ini.  Untuk melaksanakannya,  satu keterangan yang komprehensif tentang sikap pensyarah terhadap penggunaan internet secara profesional adalah sangat berguna.  Kajian ini adalah  perlu bagi mendapatkan maklumat tersebut.

Tujuan Kajian

            Tujuan kajian  yang dicadangkan adalah untuk mengenalpasti sikap pensyarah-pensyarah di Institut Perguran Darulaman terhadap penggunaan internet secara profesional.

 

Persoalan Kajian

            Kajian  ini adalah bertujuan untuk mengetahui :

1.      apakah sikap pensyarah-pensyarah di Institut Perguruan  Darulaman terhadap penggunaan  internet secara profesional.

2.      adakah terdapat perhubungan di antara bidang pengkhususan pensyarah dengan sikap mereka terhadap penggunaan  internet secara profesional.

3.      adakah terdapat perhubungan di antara tahap pengetahuan penggunaan perisian komputer dengan sikap mereka terhadap penggunaan internet secara profesional.

 

Batasan kajian

            Populasi kajian adalah terdiri daripada 100 orang pensyarah daripada Institut Perguruan Darulaman,  Jitra,  Kedah Darul  Aman.

 

Tatacara Kajian

            Kajian yang akan dilaksanakan adalah mengikut tatacara berikut:

1.      membuat kajian literatur bagi mengenalpasti permasalahan kajian.

2.      membuat instrumen  kajian yang akan digunakan.

3.      mengumpul dan menganalisis data menggunakan perisian SPSS.

4.      membincangkan hasil kajian.

 

Definisi Istilah

Pensyarah adalah pendidik guru di IPDA;  kesemuanya mempunyai pengalaman  mengajar  di sekolah.

Penggunaan internet secara profesional  adalah menggunakan internet dalam membantu tugas-tugas pentadbiran,  pengajaran dan pembelajaran.